Thursday 2 August 2012

Salam Kasih Sayang & Sekapur Sireh dari Presiden



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera





Teriring Salam dan Doa semoga Allah SWT melimpahkan Taufik dan Hidayahnya kepada kita semua. Bersyukur saya kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, saya telah diberi peluang untuk menerajui TIARANITA Cawangan Terengganu ini.


Alhamdulillah TIARANITA Cawangan Terengganu telah dapat membangunkan sebuah Laman Blognya sendiri yang diberi nama TiaranitaSongket. Sebagai Presiden TIARANITA Cawangan Terengganu, saya ingin merakamkan Ucapan Tahniah  dan Syabas serta Jutaan  Terima Kasih yang tidak terhingga kepada  Ketua Biro Keusahawanan dan AJKK Biro ini,  AJK Induk TIARANITA Cawangan Terengganu diatas usaha dan kerjasama yang diberikan dalam membangunkan Laman Blog ini.  Saya sangat berbangga dengan hasil usaha gigih yang jelas membuktikan betapa komitednya puan-puan untuk menjayakan aktiviti TIARANITA ini. 


Disamping kesibukan melaksanakan tugas ditempat kerja serta tanggungjawab kepada keluarga, puan-puan sememangnya layak untuk diberi sanjungan serta pujian di atas sumbangan yang telah diberikan. Tahniah kepada puan-puan kerana ahli-ahli TIARANITA Cawangan Terengganu begitu aktif menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat, menarik dan telah Berjaya meningkatkan keahliannya sehingga kini.


TIARANITA Cawangan Terengganu bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti dengan objektif yang di antaranya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara anggota wanita dan isteri- isteri warga  TM Terengganu, menggalakkan perkembangan pengetahuan serta kemahiran dan kemajuan diri, mengeratkan perhubungan dengan pertubuhan luar dan menjalankan kerja-kerja amal.


Sehingga ke hari ini, objektif-objektif ini ternyata semakin relevan dengan aktiviti  seminar, bengkel, lawatan, sukan, keusahawanan, Kebudayaan, Sahsiah,  Intelektual dan sebagainya, Saya berharap dan berdoa agar TIARANITA Cawangan Terengganu  akan terus aktif dalam merealisasikan segala objektif TIARANITA. 


Saya mewakili seluruh warga TIARANITA Cawangan Terengganu  mengalu-alukan kesudian ahli-ahli dan pengunjung-pengunjung mengunjungi laman blog ini.  Semoga paparan maklumat, aktiviti dan berita yang terkini ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh AJK, ahli dan juga pengunjung-pengunjung dan juga semoga laman ini mampu menyediakan sebahagian daripada informasi-informasi terkini dan bermanfaat agar dapat dikongsi bersama pengunjung dari luar TIARANITA Cawangan Terengganu ini. 


Akhir kata sekali lagi syabas kepada semua ahli TIARANITA Cawangan Terengganu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung  dalam segala aktiviti dan program yang djalankan seperti yang telah dirancang dan semoga kita lebih aktif lagi pada masa-masa akan datang. Semoga  usaha murni ini diberkati oleh Allah S.W.T. Amin.


Sekian, terima kasih.


Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


HAJJAH SITI SALWAH HAJI AHMAD
Presiden
TIARANITA Cawangan Terengganu

No comments:

Post a Comment