Tuesday, 8 July 2014

Perutusan Presiden Tiaranita Terengganu sempena Bulan Ramadhan 1435H


Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah SWT diberi peluang dan kesempatan kepada kita untuk sekali lagi menyambut kehadiran bulan penuh keberkatan iaitu Ramadhan al-Mubarak 1435 Hijrah.

Bersempena dengan bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga dan memenuhi dengan amalan yang dituntut oleh agama.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengambil peluang untuk mengajak kita agar bermuhasabah, tentang persiapan kita dalam menyambut tetamu kehormat yang akan datang mengunjungi kita, hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut :

وَمَنْ كَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Bulan Ramadhan adalah merupakan tetamu kita, 30 hari kedatangannya perlu dimanfaatkan semaksimumnya. Kita semua sedia maklum, bahawa menjadi sunnah Rasulullah untuk memuliakan tetamunya. Apatah lagi, tetamu kita pada kali ini ialah Bulan Ramadhan. Bulan yang didalamnya terkandung pelbagai peristiwa-peristiwa agung, perjuangan-perjuangan yang tidak mengenal lelah dan penat, pelbagai ganjaran yang berlipat ganda, dan 1001 khazanah yang semestinya akan memberi kesan yang sangat positif dalam diri kita sekiranya kita benar-benar mengikhlaskan niat hanya kerana melaksanakan perintah Allah SWT.

Oleh itu, marilah bersama-sama kita meletakkan sasaran kita pada Ramadhan kali ini agar Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Suatu pendidikan (tarbiyyah) yang mampu melahirkan generasi-generasi yang bertaqwa. Kita perlukan persiapan, dan perancangan yang sangat rapi untuk menempuh madrasah ramadhan ini. Selepas itu, kita perlukan iltizam, juhud dan mujahadah yang berterusan dalam merealisasikan segala perancangan dan harapan tersebut. Semoga dengan persiapan yang dilakukan mampu memberi semangat kepada kita untuk melakar agenda ramadhan kita pada tahun ini dan menguatkan iltizam kita untuk menempuh kehidupan di bulan Ramadhan dengan jayanya seterusnya mampu meneruskan kesan positif tersebut sepanjang kehidupan kita sehingga bertemu kepada Ramadhan yang akan datang.


Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak daripada saya dan seluruh Jawatankuasa Tiaranita Terengganu. 

Akhir kata  Mohon maaf jika ada salah silap agar kita memasuki bulan mulia ini dengan hati yang bersih, In shaa Allah. Wallahu’alam.












Siti Salwah Hj Ahmad
Presiden Tiaranita

No comments:

Post a Comment