Thursday 19 January 2017

TIARANITA TERENGGANU DI MAJLIS " SEMEKAR BUDI SEJAMBAK MEMORI " SKIM MESRA AHLI TIARANITA TM TERENGGANU 2017


Tanggal 18 Januari 2017 (Rabu) bertempat di Hotel Sumai Kuala Terengganu, TIARANITA Terengganu telah menganjurkan Majlis " SEMEKAR BUDI SEJAMBAK MEMORI " SKIM MESRA TM TERENGGANU yang mana sinonim bagi menggantikan frasa ‘perpisahan’ atau ‘persaraan’.  Majlis ini diadakan bagi menghargai jasa & komitmen yang telah diberikan oleh mereka disepanjang menjadi ahli TIARANITA Terengganu.  Dua (2) orang ahli TIARANITA yang diraikan ialah Pn. Hajjah Wan Nauyah bt Wan Musa serta Pn. Che W Nor Ashikin Zunainah bt C W Mansor yang akan bersara pada penghujung Januari 2017 nanti.
Majlis yang ringkas dan cukup meriah serta penuh bermakna ini telah dimulakan dengan ucapan Aluan oleh Presiden TIARANITA Terengganu, Puan Hajjah Siti Salwah Haji Ahmad. Persaraan adalah umpama suatu persimpangan utama dalam kehidupan bagi mereka yang telah bekerja lebih dari 30 tahun. Di situlah bermula satu kehidupan yang baru iaitu melepaskan tugas, tanggungjawab, jawatan serta rutin yang dipikul selama ini.
Bagi pihak TIARANITA Terengganu, diucapkan Selamat Maju Jaya kepada Pn. Hajjah Wan Nauyah dan Pn. Che Wan Nor Ashikin.  Semoga tetamu-tetamu yang diraikan dipanjangkan usia, diberikan rezeki yang berpanjangan serta kesihatan tubuh badan, ditambahkan ilmu pengetahuan, dipermudahkan segala urusan dan memiliki kehidupan yang membahagiakan bersama keluarga tersayang.
Raut wajah damai dan tenang
Tiada terkalam kasih dijunjung
Jasa baktimu tetap dikenang
Budi baikmu tetap disanjung
Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman
Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari, penyampaian cenderahati kepada pesara serta sesi bergambar beramai-ramai. Salam kemaafan kami hulurkan dan semoga kemesraan yang terjalin akan terus berpanjangan. 


















No comments:

Post a Comment